Thursday, May 24, 2012

LUKA MENJADI BARAH~

Mengimbau kenangan semasa kecil, mak dan ayah menjaga kami adik beradik dengan didikan yang bagi aku sangat sempurna. Sungguhpun mereka orang kampung yang ilmu agama setakat biasa-biasa saja, tapi mereka tak pernah mengabaikan pendidikan agama kepada kami adik beradik.


Pada usia 5 tahun, mak menghantar aku pergi mengaji muqaddam. Selalunya aku akan pergi bersama sahabat baikku, Mima. Kayuhla kami basikal mini bersama-sama, hujan atau panas tetap kami redah. Dan abang pula pergi bersama kawannya, Miron (abang kepada Mima).

Sesekali pulang dari mengaji, kami melepaskan stress dengan bermain di gelung air di bendang. Dah biasa bila lintah hinggap di kaki. Tapi sekarang, air bendang tidak seperti dulu. Dah tak jernih, ikan juga dah tak banyak.


Kehidupan sekarang dan kehidupan dahulu sangat jauh berbeza. Ada antara mereka sudah tidak kenal apa itu selut bendang, sedangkan dari bendang itulah keluarnya barang sebutir dua biji padi untuk alas perut datuk nenek dahulu.

Kanak-kanak dahulu, jiwanya kental. Sesekali dimarah mak dan ayah itu sudah menjadi kebiasaan. Namun, pentingnya bagi ibu bapa mengetahui bahawa tidak semua perkara dapat dihalang dengan memarahi anak-anak. 

Anak-anak keluar bermain jerami padi, mengapa perlu dimarahi, itu fitrah mereka. Membesar sebagai anak kampung!

Sayu hati aku ketika melihat anak saudaraku dipukul ayahnya disebabkan menyebabkan adiknya terjatuh. Kalau manusia mengetahui hakikat sebenar dalam diri kanak-kanak, mereka tidak akan sanggup memukul anak mereka dengan pukulan yang aku kira melampau. Allah...

“Maka kerana rahmat Allah-lah engkau bersikap lembut terhadap mereka. Seandainya engkau bersikap kaku dan keras hati, tentu mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (Ali ‘Imran: 159) 

Luka itu, akan menjadi barah dalam diri kanak-kanak apabila dia besar nanti. Kanak-kanak 9 tahun, umur itu sudah cukup dewasa bagi kanak-kanak untuk mengingati apa yang telah dilakukan kepadanya di zaman kanak-kanaknya.

Kasih sayang terabai, itu juga akan menjadi barah yang membengkak suatu hari nanti!


Al-Aqraa bin harits melihat Nabi Muhammad SAW. mencium Al-Hasan r.a. lalu berkata, Wahai Rasulullah, aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium mereka. Rasulullah bersabda, "Aku tidak akan mengangkat engkau sebagai seorang pemimpin apabila Allah telah mencabut rasa kasih sayang dari hatimu. Barang siapa yang tidak memiliki rasa kasih sayang, nescaya dia tidak akan di sayangi."

Ada ibu bapa yang membeza-bezakan kasih sayang kepada anak-anak mereka. Itu juga bakal menjauhkan anak-anak daripada mereka suatu hari nanti.

Nauzubillahi min zalik!

"Andai suatu masa nanti, 
tidak ada lagi manusia yang menyayangimu, 
ingatlah bahawa Allah masih ada untuk kamu.."

*ada sesuatu berbekas di hati~

No comments:

Post a Comment