Tuesday, October 13, 2009

BERAKHIRNYA SEBUAH ANDALUS..

Al-Andalus sering digambarkan dengan seribu keindahan. Pancuran air, tamadun yang dimegah-megahkan, lagu dan syair digubah untuk mengungkapkan keindahannya, dan keilmuan sains dan teknologinya sering menjadi bahan paparan media. Memang Andalus hebat.
Tetapi ia bukanlah seindah yang digambarkan. Andalus itu pahit dan derita, penuh kebinatangan yang terbit pada wajah manusia, dan kami dengan penuh sabar menekuni liku-liku jatuh dan bangun Andalus bersama Prof Kopanski.
Kelas Andalus ini tidak seperti kelas yang lain. Selama tiga jam (kadang-kadang mencecah 4 jam lebih), kami akan duduk mengelilingi meja bulat bilik kuliah, dan peta Mediterranean Barat akan dibentang. Lagak pegawai tentera sedang mendengar taklimat dari Jeneral yang bertitah merancang strategi. Prof. Kopanski menarik perhatian kami untuk mengaitkan setiap satu peristiwa, kepada lokasinya di atas peta.
Kembara kami bermula, dengan penyiasatan tentang siapakah sebenarnya Tariq bin Ziyad. Seorang tokoh yang muncul dari misteri sejarah, melakar kejayaan luar biasa menguasai Semenanjung Iberia dalam jangka masa yang singkat, terfitnah bersama Musa bin Nusair lalu dipanggil mengadap Khalifah di Dimasyq, dan kemudian hilang dalam misteri sejarah yang matinya tidak bernesan, hidupnya tiada catatan. Prof. Kopanski mengemukakan teori bahawa Tariq bin Ziyad bukan Berber dari Afrika Utara, tidak juga Arab Mesir mahu pun Yaman dan Syam, beliau adalah Visigoth Jerman, dari penduduk Semenanjung Iberia yang kemudiannya menerima Islam di Afrika Utara, sama ada oleh dirinya sendiri, atau melalui bapanya yang berhijrah ke Afrika Utara.
Kembara kami diteruskan lagi dengan pelbagai catatan jatuh bangun, diserikan pula oleh gaya Prof Kopanski yang seperti pelakon teater. 3 jam kami di dalam kelas, seperti menonton filem Andalus yang pengarah, penerbit, penulis skrip dan pelakonnya adalah Prof Kopanski. Hebat…
Minggu lalu kami berbahas tentang Andalus menurut perspektif Ibn Hazm al-Andalusi. Sungguh teruja, dan lucu dengan syair-syair Ibn Hazm yang jatuh hati dengan seorang hamba wanita milik jirannya. Syair itu dianalisa untuk melihat dunia yang berbeza, ketika Islam tinggi, ketika bangsa yang kulitnya berwarna lebih mulia dan berpendidikan, berbanding si kulit putih yang hina, kotor dan digambarkan oleh Ibn Fadlan sebagai berotak beku, mangsa cuaca sejuk yang menjumudkan wujud mereka.
Langkah kami sampai ke penghujungnya malam ini. Selama 4 jam kami di dalam kelas, Prof Kopanski membawakan catatan beliau pada manuskrip yang dikutip dari Maghribi, berkenaan dengan laporan pegawai polis yang menyiasat keadaan sisa-sisa umat Islam selepas pembunuhan Muslim besar-besaran dengan restu Pope pada tahun 1492. Penyiasatan itu merujuk kepada daerah Valencia yang ditawan oleh El Cid Campeador. Catatan itu membuatkan saya dan rakan-rakan tersepit antara lucu, geram, sedih dan terluka… semuanya untuk diteladani oleh mereka yang masih punya akal dan jiwa
.
Patung El Cid Campeador di Valencia
Semua yang dilakukan di Valencia adalah sama seperti apa yang dilakukan oleh Ataturk di Turki, dan kerajaan-kerajaan Eropah hari ini yang gementar dengan kehadiran 58 juta umat Islam di Eropah, pada statistik terkini.
Pada tahun 1516, diperkenalkan undang-undang yang melarang Muslimah menutup mukanya. Serban juga diharamkan, dan mereka yang melanggar peraturan ini akan dihukum menjadi hamba di ladang milik paderi. Pegawai polis itu juga geram dengan umat Islam yang enggan memakan babi, tidak minum arak dan khabarnya mandi setiap pagi Jumaat. Mereka telah menghancur binasakan Hamam kerana tidak mahu umat Islam mandi… biar kotor dan jijik seperti mereka. Anak-anak yang lahir diperiksa dan jika dikhatan, keluarganya akan dihukum.
Melucukan, laporan siasatan itu mengenal pasti orang Islam di Valencia enggan makan di meja, sebaliknya duduk di lantai! Undang-undang diperkenalkan pada tahun 1526 yang mengharamkan orang Islam memiliki kunci rumah. Pintu rumah setiap orang Islam mesti dibiarkan terbuka dan orang Kristian boleh menjenguk masuk sesuka hati, demi memastikan orang Islam tidak bersembahyang atau menyimpan bejana air untuk berwudhu’. Laporan itu juga mencela orang Islam kerana didapati mereka menamakan anak-anak mereka dengan dua nama. Secara rasmi, mungkin bernama Fredo tetapi di dalam rumah anak itu dipanggil Ahmad, Ali dan sebagainya. Orang Islam di Valencia juga didapati melanggar peraturan kerana memohon untuk bekerja pada hari Ahad dan Krismas!
Catatan ini telah membuktikan kepada kami bahawa walaupun penghapusan etnik telah mencapai kemuncaknya pada tahun 1492, umat Islam yang berbaki masih terus mempertahankan Islam mereka. Intifadhah pertama umat Islam berlaku pada tahun 1501 dan ia berterusan hingga 1570. Namun sedikit demi sedikit, generasi anak Muslim pasca 1492, telah kehilangan Islam mereka. Mereka masih tahu diri mereka Islam tetapi apabila mereka melarikan diri menyeberang laut ke pantai Afrika Utara di kawasan Tunisia, mereka telah dibunuh oleh umat Islam sendiri. Mereka disyaki sebagai pengintip Kristian, semata-mata kerana bahasa mereka yang rumit dan gagal membuktikan pengetahuan mereka tentang Solat!
Saya bangga dengan ketabahan umat Islam ketika itu. Ternyata, hampir semua buku tentang Sejarah Eropah yang ada di pasaran menyembunyikan sejarah Andalus kerana ia terlalu buruk, keji, jelek mengatasi binatang, pada imej kaum Kristian yang sangat hina pada masa itu. Pope hari ini sudah memohon maaf kepada Yahudi atas perlakuan kuasa Kristian kepada Yahudi ketika itu, tetapi hingga kini, beliau masih sombong untuk memohon maaf atas kematian umat Islam yang mencecah ratusan ribu malah jutaan orang. Kalau mati di medan perang, ia cerita lain. Tetapi ini adalah pembunuhan dan penyembelihan yang diarahkan oleh Pope kepada El Cid Campeador dan pemimpin Kristian sejagat.
Mana mungkin sejarah Andalus dapat disembunyikan. Ia bukan era 8 bulan atau 8 tahun, tetapi 800 tahun. 800 tahun yang tidak mungkin Eropah hari ini boleh berdiri tanpanya.
Malam ini kami termenung dan menamatkan siri kuliah Islamic Civilization in al-Andalus dengan suatu luka di dalam hati yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Tiada lagi Andalus… hasil kebodohan umat Islam yang berpecah belah, bersikap nifaq berkonspirasi dengan musuh untuk membunuh saudara sendiri, lantas dihukum Allah dengan kezaliman Kristian yang tiada tolok bandingnya.
Teruskan leka dan hiburanmu wahai bangsa Malaysia. Nafikan kebinasaan manusiamu dengan kebanggaanmu terhadap Sains dan bangunan konkrit dan batu, engkau sedang menjejaki kesilapan Andalus…

No comments:

Post a Comment