Friday, October 19, 2012

19 SEPT 2012 (8bln 17hr)

Hari ni genap 8bln 17 hari Arwah Tok pergi meninggalkan kami. Allah... Rasa cepat masa berlalu.. Moga arwah tenang di sana.

 Al-Fatihah...~


Kucupan terakhir dari ayah...

Monday, June 18, 2012

TERSENTUH~

Sebahagian daripada bunga-bunga mak~


*********************

Tersentuh dengan kata-kata insan yang bergelar mak

Tulusnya hati seorang ibu

Seakan-akan dapat membaca fikiran anaknya ini

Ya Allah..

Jangan biarkan air mata ini jatuh dengan sia-sia

Rahmatilah kehidupan kedua ibu bapaku

Di dunia mahupun akhirat sana

Amiin Ya Rabb~

Saturday, June 16, 2012

MALAIKAT KECIL~

Mungkin sesetengah orang menggelar mereka sebagai malaikat kecil adalah disebabkan kerana sifat mereka yang suci dan bersih. Secara fitrahnya manusia lahir dalam keadaan bersih dari segala dosa.

Anak-anak lahir suci bersih seperti yang disebut dalam sabda Nabi Muhammad bermaksud:

"Setiap anak dilahirkan bersih suci, maka ibu bapanyalah yang membentuk sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi." (Hadis riwayat al-Bukhari)


Kehidupan kanak-kanak banyak mengajar kita. Lihatlah mereka. Seringkali mereka jatuh ketika belajar bertatih, tetapi mereka tidak pernah berputus asa untuk bangun kembali.


Saat ini, terkenang mereka di rumah~




















Sengaja gambar diupload banyak-banyak. 

Supaya yang melihatnya akan melihat sampai rasa xlarat nak lihat lgi. Euwww~

Mereka adalah sebahagian daripada kehidupan penulis. Sunyi rumah tanpa mereka.

Tapi hari ini, mereka membesar dengan sangat cepat.

Begitu juga dengan diri penulis. Hari ini penulis sudah menjadi Isteri To Be. Gulp~


Begitulah pantasnya roda kehidupan berputar.


Kata Wafi, "Alang..alang..tu tgk hantu di dalam botol kicap." Waktu tu dia ternampak botol kicap kat dalam hutan. Begitu besar pengaruh media ke dalam diri mereka.

Jika bukan kita yang melatih mereka dengan budaya kita, siapa lagi.

Moga mereka akan menjadi anak-anak yang soleh/ah satu masa nanti.

Amiin Ya Rabb~

Penjajahan Tak Bermaruah

TRAGEDI NAKBAH:

15 Mei 1948: Bendera Union Jack diturunkan di Pallestine dan digantikan dengan bendera The Star of David.

Negara haram Israel diisytiharkan oleh Perdana Menterinya yang pertama David Ben Gurion

Tragedi kemanusiaan terburuk abad lalu yang direstui oleh masyarakat antarabangsa. 


Tragedi ini bukan sahaja dirancang oleh pertubuhan Zionis antarabangsa bahkan mendapat kelulusan rasmi dari kuasa-kuasa Barat dan penaja kepada PBB iaitu British dan Amerika Syarikat. 

Tragedi Nakbah menyaksikan 800,000 rakyat Palestin diusir dari rumah-rumah dan tanah air mereka dan duduk di khemah-khemah pelarian sehingga hari ini


Allah...

Pengistiharan negara haram Israel pada tahun 1948 telah membuka laluan kepada penaklukan seluruh bumi Palestin pada tahun 1967

Pada tahun tersebut Baitul Maqdis timur di mana terletaknya Masjid al Aqsa, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza diduduki oleh Israel.



Masjid Al-Aqsa terus dikepung dan dikuasai oleh Yahudi Zionis sehingga ke hari ini. 

Mereka telah melakukan pelbagai rancangan jahat untuk meruntuhkan masjid tersebut termasuklah dengan peristiwa pembakaran masjid pada 21 Ogos 1969 dan meletakkan bahan letupan di bawah binaan masjid. 

Di samping itu mereka juga menggali terowong di bawah masjid serta mendirikan kuil (synagogue) sementara di bawah permukaan masjid.

Seandainya kita tidak dapat memberi apa-apa sumbangan terhadap kemerdekaan Pallestine, sekurang-kurangnya kita masih mampu untuk mendoakan buat seluruh umat Islam di sana. 

Penjajahan ini perlu dijadikan iktibar bagi rakyat Malaysia kerana tiada yang milik kita..

Moga Allah memelihara setiap derap langkah kita dalam perjuangan memartabatkan Islam.

Amin Ya Rabb~


Thursday, June 14, 2012

~


Di tepi kerinduan ku 

memandang harta pada dunia 

ku hanya orang biasa 

tidak lepas dari salah dan kecewa 

hanya pada-MU , tempat ku mengadu 

sakit yang kini menyengatku 

aku percaya tiada yang sia-sia

 semua akan ada hikmahnya 

. Ya Allah , jangan biarkan air mata yang menitis

jatuh dengan sia-sia..


Amin Ya Rabb~

Tuesday, June 12, 2012

TERIMA KASIH MAK~

Terima kasih mak atas doanya. Meski terkadang anak mak ni terputus semangat. 

Terima kasih atas doa yang tak pernah putus. Moga damai mengiringi mak di dunia dan juga di sana nanti.

Anak mak ni selalu ingat tentang mati. 

Andai ajal datang memanggilku dahulu, ingatlah bahawa setiap yang hidup pasti akan merasai mati. 

Sampai masanya aku juga akan kembali ke sisi Tuhanku..

................................................................

Moga sayangku pada emak adalah sayang yang berkekalan.

Moga sayangku pada emak adalah sayang yang tak bertepian.

Moga sayangku pada emak adalah sayang yang takkan berkesudahan.

Moga sayangku pada emak adalah sayang yang berbalas sayang.


Moga kasih mak pada anak mak ni tak hilang, walau apa pun yang berlaku.

Moga Farhani akan menjadi anak yang solehah buat mak dan ayah.

Moga mak tak pernah putus mendoakan anak-anak mak.

Amiin Ya Rabb~

LEPASKANLAH~

Jika ingin lepaskan,

lepaskanlah SEPENUH HATI..

jangan dilepaskan separuh hati, dipegang separuh hati lagi..

kelak nanti menghambat hati, menjerat diri, MENYEKSA SANUBARI..

lepaskan dia, lepaskan sepenuh hati..biarlah dia pergi..

semoga dirimu menemui DAMAI HAKIKI, walau bersendiri….


"Kerana itu Allah menimpakan kepadamu KESEDIHAN demi kesedihan, agar kamu tidak bersedih hati lagi terhadap apa yang LUPUT dari kamu dan terhadap apa yang menimpamu. Dan Allah Maha Teliti apa yang kamu kerjakan."

(Surah Ali Imran : 153)

Menunggu PELANGI YANG INDAH, selepas hujan ribut petir yang dialami.. .

terasa amat indah walaupun lebat air yang menitis membasahi bumi..






AKU HANYALAH NIKMAT DAN RAHMAT DARI TUHANKU~

Hari ini,berita tentang salah seorang sahabat yang dimasukkan ke ICU sejak 3 hari lalu sangat mengejutkan. Begitulah Allah mewarnai kehidupan kita, kadang ceria, kadang berduka. Berbaik sangkalah kepada Allah..

Sebagai manusia, kita tak tahu bagaimana bentuk ujian yang Allah ingin berikan kepada kita. Hari ini hari dia, mana tahu esok hari kita. Yang pasti, esok belum tentu milik kita.


Saat aku merenung langit cerah..melihat kehidupan sekeliling masih berjalan seperti biasa..tersenyum sendirian, Allah itu memang BAIK...

dan ketika ini..

✿~ ada jasad bernyawa DILAHIRKAN di dunia..
✿~ ada insan sama JATUH CINTA pandang pertama..
✿~ ada manusia sedang NYENYAK dibuai mimpi..
✿~ ada orang menerima PENDAPATAN lumayan hasil lelah meraka..
✿~ ada pasangan BERKAHWIN membina istana bahagia..
✿~ ada budak baru BELAJAR MEMBACA..
✿~ ada anak baru belajar MENYEBUT pertama kalinya..
✿~ ada yang MERENUNG JAUH ke angkasa merenung impian..
✿~ ada yang MENIKMATI hari terbaik hari ini..

bermakna..indah..

tapi ketika ini..

✿~ ada yang DIKHABARKAN hidupnya hanya seminggu lagi..
✿~ ada yang MEMBUNUH dirinya sendiri..
✿~ ada yang MERAYU rezekinya di hujung jalan..
✿~ ada yang KEHILANGAN kesayangan mereka selamanya..
✿~ ada yang DIJATUHI HUKUMAN ke penjara seumur hidupnya..
✿~ ada yang BEKERJA 16 jam tanpa henti tiada habuannya..

pahit..perit..

imbas..

AKU DI SINI..

punya arus elektrik membekal cahaya dan haba..
punya makanan tersedia untuk dijamah..
punya air bersih untuk bersiram..
punya masa untuk menulis ini.

*Kepada sahabat yang mengenali Nur Shuhailah Saad, minta tlg doakan utk kesembuhan beliau yang kini terlantar di Hospital Besar Kangar akibat penyakit yang tak dapat dikenalpasti.

Innalillahiwainnailaihiraji'un...

Sunday, June 10, 2012

SETIAP ORANG MAMPU BERJAYA~

“Everybody can be great. Because anybody can serve. You don’t have to have a college degree to serve. You don’t have to make your subject and your verb agree to serve. You don’t have to know about Plato and Aristotle to serve. You don’t have to know Einstein’s Theory of Relativity to serve. You don’t have to know the second theory of hermodynamics in physics to serve. You only need a heart full of grace. A soul generated by love.” 
- Martin Luther King.

=)

Thursday, June 7, 2012

PESANAN~


Wahai anak-anakku, telah tiba saatnya kalian kembali kepada ALLAH dengan meninggalkan pelbagai keseronokan, kealpaan kehidupan dan menyingkirkannya jauh daripada kehidupan kalian.
 - As-Syahid Sheikh Ahmad Yassin-

Saturday, May 26, 2012

CINTA ANTARA BENUA~


Jarak ini menjaga aku dan dia 



Kini aku semakin mengerti, 'JARAK' ini bukan untuk menghukumku. 

Tetapi 'JARAK' ini untuk menjaga aku dan dia. 

Dengan 'JARAK' ini aku dan dia berjanji untuk berubah menjadi yang lebih baik. 

Dengan JARAK ini aku dan dia berjanji untuk memperbaiki cinta kepada Illahi. 

Dengan jarak ini aku dan dia berjanji untuk mencintai Pencipta kami lebih dari segalanya. 

Dengan JARAK ini aku dan dia berjanji untuk mendalami Islam hingga ke akar umbi. 

Dan Dengan JARAK ini jua aku dan dia yakin andai tiba saatnya nanti, aku dan dia akan lebih bersedia untuk melayari semua ini dengan jalan yang diredhai. 

Terima kasih Ya Allah kerana memberi peluang kepadaku melalui jalan-Mu ini. 

Terima kasih kerana memberikan JARAK itu kepada aku dan dia. 


"Ketahuilah hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang" 


(Ar-Ra'd 13:28 )


*******************************


Sekalipun cinta telah ku uraikan, 

dan ku jelaskan panjang lebar, 

namun jika cinta kudatangi, 

aku jadi malu pada keteranganku sendiri... 

meskipun lidahku telah mampu menguraikan, 

namun tanpa lidah, cinta ternyata lebih terang.. 

sementara pena begitu tergesa-gesa menuliskannya.. 

kata-kata pecah berkeping-keping, 

begitu sampai kepada cinta.. 

dalam menguraikan cinta, 

akal terbaring tak berdaya, 

bagaikan keldai terbaring dalam lumpur.. 

cinta sendirilah yang menerangkan cinta dan percintaan...



Friday, May 25, 2012

TELEKUNG BUAT DIA~

Penting ibu bapa mendidik anak-anak mereka supaya kenal dengan Sang Pencipta sejak dari mereka kecil. pepatah Melayu juga ada mengatakan, melentur buluh biarlah dari rebungnya. 

Kenapa masyarakat dahulu mengambil buluh sebagai analogi? Buluh, zaman mudanya dipanggil rebung. Sedap dimakan bersama gulai daging. Namun, ia juga akan melalui peringkat kematangannya yang merubahnya daripada rebung menjadi buluh, yang mana dari segi fizikalnya, gagah dan perkasa.

Kegunaannya juga mula berubah mengikut putaran masa. Orang dahulu menjadikan buluh sebagai lantai dan dinding rumah kerana sifatnya yang kuat dan tahan lasak. Sehingga sekarang, buluh digunakan untuk dijadikan pondok tempat ambil angin petang.

Ayah penulis juga bersiap sedia dengan sebatang buluh di luar rumah untuk memukul ular yang datang tanpa diundang. Hebatnya buluh ini mampu membunuh ular,berbanding dengan kayu biasa yang lain. Subhanallah..

Cerita tentang buluh kita tinggalkan dahulu.

Kanak-kanak, diri mereka diibaratkan seperti rebung, mudah dilentur. 3  orang anak saudara yang masih kecil mengajarku cara memahami psikologi kanak-kanak. Bagi kanak-kanak perempuan, dia memerlukan perhatian yang lebih berbanding dengan kank-kanak lelaki. 



Tak pandai lagi posing~


 
Menangis~



Nur Salsabila.~

Nama seindah wajahnya.. Anak ini tidak akan berpuas hati jika apa yang dijanjikan kepadanya masih tidak dipenuhi. Kadang-kadang, sementara menunggu sem baru dibuka, aku mengisi masa kosong dengan menjahit. Si kecil itu suka andai aku menjahit sesuatu untuknya. 

Hari ini dia telah membesar dengan cepat~



Lalu kuhadiahkan sepasang sarung tangan kepadanya untuk dipakai ke kelas mengaji. Kalau dulu dia agak malu denganku, tapi sekarang dia menjadi seorang anak yang sangat akrab denganku dan mendengar kata. 

Sebelum menyambung kembali pengajian di UKM, aku telah berjanji untuk menjahitkan sepasang telekung untuknya. Janji itu dia ingat sampai hari ini.

Lalu, TELEKUNG BUAT DIA telahpun siap dan baru sahaja siap pada hari ini. Akan diberikan padanya minggu depan sempena hadiah hari lahir.





Moga dia menjadi anak yang solehah di dunia dan akhirat.

Amiin...



Thursday, May 24, 2012

LUKA MENJADI BARAH~

Mengimbau kenangan semasa kecil, mak dan ayah menjaga kami adik beradik dengan didikan yang bagi aku sangat sempurna. Sungguhpun mereka orang kampung yang ilmu agama setakat biasa-biasa saja, tapi mereka tak pernah mengabaikan pendidikan agama kepada kami adik beradik.


Pada usia 5 tahun, mak menghantar aku pergi mengaji muqaddam. Selalunya aku akan pergi bersama sahabat baikku, Mima. Kayuhla kami basikal mini bersama-sama, hujan atau panas tetap kami redah. Dan abang pula pergi bersama kawannya, Miron (abang kepada Mima).

Sesekali pulang dari mengaji, kami melepaskan stress dengan bermain di gelung air di bendang. Dah biasa bila lintah hinggap di kaki. Tapi sekarang, air bendang tidak seperti dulu. Dah tak jernih, ikan juga dah tak banyak.


Kehidupan sekarang dan kehidupan dahulu sangat jauh berbeza. Ada antara mereka sudah tidak kenal apa itu selut bendang, sedangkan dari bendang itulah keluarnya barang sebutir dua biji padi untuk alas perut datuk nenek dahulu.

Kanak-kanak dahulu, jiwanya kental. Sesekali dimarah mak dan ayah itu sudah menjadi kebiasaan. Namun, pentingnya bagi ibu bapa mengetahui bahawa tidak semua perkara dapat dihalang dengan memarahi anak-anak. 

Anak-anak keluar bermain jerami padi, mengapa perlu dimarahi, itu fitrah mereka. Membesar sebagai anak kampung!

Sayu hati aku ketika melihat anak saudaraku dipukul ayahnya disebabkan menyebabkan adiknya terjatuh. Kalau manusia mengetahui hakikat sebenar dalam diri kanak-kanak, mereka tidak akan sanggup memukul anak mereka dengan pukulan yang aku kira melampau. Allah...

“Maka kerana rahmat Allah-lah engkau bersikap lembut terhadap mereka. Seandainya engkau bersikap kaku dan keras hati, tentu mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (Ali ‘Imran: 159) 

Luka itu, akan menjadi barah dalam diri kanak-kanak apabila dia besar nanti. Kanak-kanak 9 tahun, umur itu sudah cukup dewasa bagi kanak-kanak untuk mengingati apa yang telah dilakukan kepadanya di zaman kanak-kanaknya.

Kasih sayang terabai, itu juga akan menjadi barah yang membengkak suatu hari nanti!


Al-Aqraa bin harits melihat Nabi Muhammad SAW. mencium Al-Hasan r.a. lalu berkata, Wahai Rasulullah, aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium mereka. Rasulullah bersabda, "Aku tidak akan mengangkat engkau sebagai seorang pemimpin apabila Allah telah mencabut rasa kasih sayang dari hatimu. Barang siapa yang tidak memiliki rasa kasih sayang, nescaya dia tidak akan di sayangi."

Ada ibu bapa yang membeza-bezakan kasih sayang kepada anak-anak mereka. Itu juga bakal menjauhkan anak-anak daripada mereka suatu hari nanti.

Nauzubillahi min zalik!

"Andai suatu masa nanti, 
tidak ada lagi manusia yang menyayangimu, 
ingatlah bahawa Allah masih ada untuk kamu.."

*ada sesuatu berbekas di hati~

Wednesday, May 23, 2012

KUATKAN HATIMU DUHAI SAHABAT~

Baru semalam penulis menulis tentang arwah tok, dan hari ini berita tentang pemergian ibu kepada sahabat penulis, Nuraisyah Mohd Nasir sangat mengejutkan. Allah...


Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Pasti akan ada hikmah yang berlaku di sebalik semua ini. PASTI!


Aisyah yang aku kenal adalah seorang yang kuat. Insyaallah..beliau mampu untuk lalui semua ini, berkat dorongan dan semangat daripada rakan-rakan yang lain. Insyaallah..

Semoga tenanglah ibunya di sana.

Al-Fatihah...




Bertahanlah! Jangan mudah mengalah!

Tuesday, May 22, 2012

SAMPAI MASA, AKU JUGA AKAN KEMBALI KEPADA TUHANKU..~


Aku membilang-bilang nikmat Tuhan..

Aku tak pun pernah sampai ke hujung..

Aku menoleh ke kiri memandang dosa-dosaku..

Aku membilang di jemari sedikitnya syukurku..

Aku mengintai pahala dan taatku padaMu..

Aku jadi keliru pada ikhlasku padaMu..

Aku pasrah dalam sunyi muhasabah diri..


Aku hanyalah nikmat dan rahmat Tuhanku ...




Hari ni, genap 3 bulan 21 hari tok pergi meninggalkan kami. Dulu, tika aku kecil, aku sering rajuk membawa diri ke rumah tok. Sehinggalah aku besar. Semasa di Tingkatan 6, aku tinggal bersama tok, menemani baki hayatnya. Sepanjang hayat tok, walaupun dah 21 tahun tok lumpuh, tapi tok tak pernah tinggalkan puasanya. 

Tahun ni, SYAWAL yang bakal kami sambut tanpa dia bersama. Pasti terasa ketiadaannya. Aku bersyukur kerana sempat menjaga tok sehingga nafasnya yang terakhir. Puas aku tahan air mata, tapi tertumpah juga. Air mata tanda kasih dan sayang aku padanya. Rasulullah juga pernah menangis ketika puteranya Ibrahim bin Muhammad meninggal dunia.



Para sahabat bertanya, “ Ya Rasulullah., bukankah engkau pernah melarang kami menangis kerana ditinggal mati oleh seseorang?”. Rasulullah menjawab, “Apakah kalian tidak mendengar, bahawa sesungguhnya Allah swt. tidak akan menyeksa orang yang meninggal kerana ditangisi, tapi Allah akan menyeksanya kerana tangisan yang tersedu-sedu dan yang berteriak-teriak?”

Saat-saat terakhir bersama tok, dia mahu aku memangkunya. Katanya badannya lenguh. Pilu hati kerana belum puas bersamanya, namun pilu lagi hati melihatnya jasadnya kesakitan. Sakitnya cuma seminggu dan kemudian dia kembali bertemu Rabb-nya. Moga tok tenang di sana. Al-Fatihah..

Ketika sakit, dia bertanyakan abang jauh jauh di Sarawak. Cuti sekolah hanya seminggu dan dia bercadang untuk tidak pulang. Tapi bila mengetahui tok sakit, hatinya berbelah bagi. Petang itu abang telefon, aku terpaksa memberitahunya, tok bertanyakan abang. Petang itu juga dia membeli tiket kapal terbang. Rupanya tok ingin pergi jauh..



Surah Yassin kami bacakan sepanjang menjaga tok yang nazak. Luka di kaki tok aku cuci, saat orang lain tak sanggup melakukannya. Kerana aku tahu, masa bersama tok makin suntuk. Allah...


2 Feb 2012
Tok 'pergi' meninggalkan kami selamanya. Waktu tu pukul 530 pagi. Mak kejutkan aku pukul 430 pagi sebab tok dah makin nazak. Kami ajarkan dia untuk mengingati kalimah Allah. Meski mulutnya sudah tak mampu untuk mengucapkan, tapi kepalanya mengangguk ketika kami membacakannya.

Aku sms kepada abang. "Tok dah xda". Abang menelefon aku kembali. Masing-masing kelu. Sebak yang berbaki di dada aku tahan semampuku. Tok pergi selepas dua hari abang pulang ke Sarawak. Tapi bersyukurlah, sekurang-kurangnya abang sempat berjumpa dan kucup tangan tok buat kali terakhir.

Aku, mak, kakak, dan sepupu tolong mandikan tok buat kali terakhir. Urat-urat tok yang lumpuh alhamdulillah dapat dirungkai dengan lembut. Cuma kaki kanan tok saja yang tak dapat diiluruskan sebab sudah lama tidak bergerak. Akhir sekali, mereka panggil ayah untuk jiruskan    jasad tok buat kali terakhir.


Setelah siap kapan, aku dan adik beradik yang lain mencium pipi tok. Tenang wajahnya seolah-olah masih ada bersama kami. Ayah paling tabah. Aku tak lihat ayah menangis. Itulah anak kesayangan tok. Allah...




Dan sampai masa, kita juga akan kembali ke sana..


Bagi sesiapa yang membaca post ini, mohon sedekahkan al-Fatihah untuk tok. Doakan arwah tenang di sana. Amiin...


Monday, December 5, 2011

BARU SEDIKIT DIUJI...



Baru sedikit diuji, mulut sudah tak mampu berbicara

Baru sedikit diuji, peritnya sehingga ke tulang dalam
Baru sedikit diuji, semangat sudah mula hilang
Baru sedikit diuji, kaki sudah tak mampu melangkah
Baru sedikit diuji, telinga sudah tak mampu mendengar
Baru sedikit diuji, mata sudah tidak mampu terpejam
Baru sedikit diuji,selera sudah tidak ada
Baru sedikit diuji, hati sudah mula merungut
Baru sedikit diuji, fikiran sudah mula melayang


Namun..
Aku percaya ujian ini tak sia-sia. Pasti ada sinar yang menanti di hadapan. 


KERANA AKU ORANG YANG TERPILIH!