Tuesday, May 22, 2012

SAMPAI MASA, AKU JUGA AKAN KEMBALI KEPADA TUHANKU..~


Aku membilang-bilang nikmat Tuhan..

Aku tak pun pernah sampai ke hujung..

Aku menoleh ke kiri memandang dosa-dosaku..

Aku membilang di jemari sedikitnya syukurku..

Aku mengintai pahala dan taatku padaMu..

Aku jadi keliru pada ikhlasku padaMu..

Aku pasrah dalam sunyi muhasabah diri..


Aku hanyalah nikmat dan rahmat Tuhanku ...




Hari ni, genap 3 bulan 21 hari tok pergi meninggalkan kami. Dulu, tika aku kecil, aku sering rajuk membawa diri ke rumah tok. Sehinggalah aku besar. Semasa di Tingkatan 6, aku tinggal bersama tok, menemani baki hayatnya. Sepanjang hayat tok, walaupun dah 21 tahun tok lumpuh, tapi tok tak pernah tinggalkan puasanya. 

Tahun ni, SYAWAL yang bakal kami sambut tanpa dia bersama. Pasti terasa ketiadaannya. Aku bersyukur kerana sempat menjaga tok sehingga nafasnya yang terakhir. Puas aku tahan air mata, tapi tertumpah juga. Air mata tanda kasih dan sayang aku padanya. Rasulullah juga pernah menangis ketika puteranya Ibrahim bin Muhammad meninggal dunia.



Para sahabat bertanya, “ Ya Rasulullah., bukankah engkau pernah melarang kami menangis kerana ditinggal mati oleh seseorang?”. Rasulullah menjawab, “Apakah kalian tidak mendengar, bahawa sesungguhnya Allah swt. tidak akan menyeksa orang yang meninggal kerana ditangisi, tapi Allah akan menyeksanya kerana tangisan yang tersedu-sedu dan yang berteriak-teriak?”

Saat-saat terakhir bersama tok, dia mahu aku memangkunya. Katanya badannya lenguh. Pilu hati kerana belum puas bersamanya, namun pilu lagi hati melihatnya jasadnya kesakitan. Sakitnya cuma seminggu dan kemudian dia kembali bertemu Rabb-nya. Moga tok tenang di sana. Al-Fatihah..

Ketika sakit, dia bertanyakan abang jauh jauh di Sarawak. Cuti sekolah hanya seminggu dan dia bercadang untuk tidak pulang. Tapi bila mengetahui tok sakit, hatinya berbelah bagi. Petang itu abang telefon, aku terpaksa memberitahunya, tok bertanyakan abang. Petang itu juga dia membeli tiket kapal terbang. Rupanya tok ingin pergi jauh..



Surah Yassin kami bacakan sepanjang menjaga tok yang nazak. Luka di kaki tok aku cuci, saat orang lain tak sanggup melakukannya. Kerana aku tahu, masa bersama tok makin suntuk. Allah...


2 Feb 2012
Tok 'pergi' meninggalkan kami selamanya. Waktu tu pukul 530 pagi. Mak kejutkan aku pukul 430 pagi sebab tok dah makin nazak. Kami ajarkan dia untuk mengingati kalimah Allah. Meski mulutnya sudah tak mampu untuk mengucapkan, tapi kepalanya mengangguk ketika kami membacakannya.

Aku sms kepada abang. "Tok dah xda". Abang menelefon aku kembali. Masing-masing kelu. Sebak yang berbaki di dada aku tahan semampuku. Tok pergi selepas dua hari abang pulang ke Sarawak. Tapi bersyukurlah, sekurang-kurangnya abang sempat berjumpa dan kucup tangan tok buat kali terakhir.

Aku, mak, kakak, dan sepupu tolong mandikan tok buat kali terakhir. Urat-urat tok yang lumpuh alhamdulillah dapat dirungkai dengan lembut. Cuma kaki kanan tok saja yang tak dapat diiluruskan sebab sudah lama tidak bergerak. Akhir sekali, mereka panggil ayah untuk jiruskan    jasad tok buat kali terakhir.


Setelah siap kapan, aku dan adik beradik yang lain mencium pipi tok. Tenang wajahnya seolah-olah masih ada bersama kami. Ayah paling tabah. Aku tak lihat ayah menangis. Itulah anak kesayangan tok. Allah...




Dan sampai masa, kita juga akan kembali ke sana..


Bagi sesiapa yang membaca post ini, mohon sedekahkan al-Fatihah untuk tok. Doakan arwah tenang di sana. Amiin...


1 comment: