Sunday, August 29, 2010

Katakanlah: "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam".

Seringkali ak berniat untuk bertahajud pada malam hari, memohon segala hajat, mengadu segala kekusutan kepada Yang Maha Mengetahui. Namun, seringkali itu juga aku tewas dek segala pujuk rayu syaitan. Teringat aku pada sepotong ayat yang disebut dalam kitabihil 'aziz. Wajah orang-orang yang beriman jelas disebut dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud :



"Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka: kamu lihat mereka ruku' dan sujud mencari kurnia Allah dan keredhaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud (pada air muka mereka kelihatan keimanan dan kesucian hati mereka)....." (al-Fath : 29 )

Malunya aku kepada Baginda s.a.w. Aku hanya seorang umat yang biasa tetapi tidak mampu untuk bertahajud secara istiqamah, sedang baginda adalah seorang pemimpin besar, seorang utusan Allah bagi melaksanakan misi dakwah ke seluruh pelusuk alam.  

Rasulullah s.a.w. adalah seorang insan yang telah dijamin oleh ALLAH S.W.T. akan masuk ke syurga. Baginda s.a.w. juga merupakan sebaik-baik manusia malah digelar Sayyid al-Mursalin iaitu penghulu segala Rasul. Baginda merupakan seorang insan yang maksum dan bebas dari sebarang bentuk dosa. Walaupun dengan kedudukan baginda s.a.w. yang sebegini sempurna tetapi baginda tetap bersungguh-sungguh dalam mengerjakan solat Tahajjud sehingga bengkak-bengkak kakinya. 


Isterinya `Aishah r.a melihat sendiri kesungguhan luar biasa baginda ini dan beliau hairan kenapa Rasulullah s.a.w. masih ingin bersusah payah melakukan ibadah tersebut sedangkan dia adalah seorang yang maksum. Kisah ini telah disampaikan oleh `Aishah r.a sendiri di dalam sebuah hadis:

Sungguh Nabi s.a.w. solat malam hingga kedua tapak kakinya merekah. `Aishah berkata kepada baginda: “Mengapa engkau melakukan hal ini wahai Rasulullah, padahal ALLAH telah mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan yang akan datang.” 

Baginda bersabda: “Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang sangat bersyukur?” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab Tafsir al-Qur’an, hadis no: 4837.


MARI KITA LIHAT 

“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga TUHANmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”. – al-Israa’ (17) : 79

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh TUHAN mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada ALLAH (memohon ampun)”. – al-Dzaariyaat (51) : 15-18


“Sungguh di dalam syurga terdapat kamar-kamar yang bahagian dalamnya terlihat dari dalam. Kami bertanya: “Untuk siapa (kamar-kamar itu) Ya Rasulullah.” Sabda baginda: “Kamar-kamar itu ALLAH sediakan untuk orang yang memberi makan, melembutkan perkataan, mengiringi puasa ramadan, menebarkan salam, dan asyik solat malam di saat manusia lain terlelap tidur.” – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunan Tirmidzi, Kitab al-Bir wa al-Shalah, hadis no: 1907.

“Dan hamba-hamba (ALLAH) al-Rahman (yang diredhai-NYA) , ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini; dan mereka (yang diredhai ALLAH itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada TUHAN mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri”. – al-Furqaan (25) : 63-64

“Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji TUHAN mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur. Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan solat Tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada TUHAN mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-NYA) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredhaan-NYA) ; dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang KAMI beri kepada mereka. Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan”. – al-Sajdah (32) : 15-17


Masya'allah..Semoga kita dapat mencontohi Sunnah baginda ini bagi menjadi orang yang mendapat syafaat di akhirat kelak. Insyaallah..

Wallahu'alam...

6 comments:

  1. tazkirah yg baik. Alhamdulillah!!

    ReplyDelete
  2. Mudah2an kita dapat mengistiqamahkan diri seperti baginda Rasulullah. Insyaallah..

    ReplyDelete
  3. subhanallah ,
    jgn lpa jga kunjungan nua ke blog saya
    heheheheh

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah..ingatan utk diri ini yg selalu leka

    ReplyDelete
  5. terima kasih kerana berkongsi ilmu..

    ReplyDelete