Saturday, December 26, 2009

Kisah Singa, Serigala dan Musang..

Ada seekor singa, seekor serigala dan seekor musang yang sangat lapar disebabkan tidak makan beberapa hari. Akhirnya ketiga-tiga binatang itu bersepakat untuk pergi memburu bersama-sama. Maka berjalanlah 3 sekawan itu mencari mangsa.

Setelah lama berjalan ternampaklah mereka di suatu sudut ada 3 ekor binatang buruan, iaitu seekor lembu,seekor kambing dan seekor arnab. Mengalir air liur singa,serigala dan musang.

"Baik betul nasib kita hari ini," kata mereka.

Berkata singa di dalam hati,"Serigala dan musang tentu ingat aku hendak berkongsi dengan mereka makanan yang begitu lazat ini.Tak mungkin!Tak mungkin!Tetapi biar aku dengar fikiran mereka dahulu."

"Serigala" kata singa, "Cubalah engkau bahagikan santapan ini."

"Baiklah tuanku!" jawap serigala.

"Lembu itu untuk tuanku, kambing untuk patik dan arnab pula untuk si musang."

"Oh! Begitu caranya engkau bahagikan. Mari dekat aku sedikit." ujar singa. Maka dengan gembiranya serigala pun merapatkan dirinya kepada singa. Apa lagi, dengan serta merta serigala terus diterkam dan dibunuh oleh singa tersebut.

Sesudah itu, singa pun bertanya kepada musang pula. "Cubalah engkau bahagikan santapan ini!"

"Baiklah tuanku."jawap musang."Lembu untuk sarapan tuanku, kambing untuk makan tengahari tuanku dan arnab untuk makan malam tuanku."

"Bagus! Bijak sungguh engkau musang. Daripada siapa engkau belajar semua ini?" tanya singa.

"Daripada melihat nasib serigala tuanku. Daripada melihat nasib serigala!!"


MORAL: Berhati-hati terhadap orang yang xdikenali..

No comments:

Post a Comment